Monday 17 June 2013

Proton perkenal varian baru Saga SV ‘Saga Super Value’ RM33,888

PETALING JAYA – Syarikat pengeluar kereta Nasional, Proton memperkenalkan varian Saga terbaharunya iaitu Saga Super Value (SV) di pusat pameran Proton Edar Platinum Mutiara Damansara di sini pagi tadi berharga  RM33,888

Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, varian tersebut ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding varian lain seiring dengan langkah kerajaan menurunkan harga kereta secara berperingkat.

“Kita menawarkan harga yang amat berpatutan tanpa sebarang kompromi terhadap aspek kualiti dan keselamatan kereta.

“Model mampu milik ini adalah salah satu komitmen Proton untuk menyediakan kereta yang bukan sahaja praktikal malah turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Hisham Othman dan Timbalannya, Datuk Lukman Ibrahim.